Friday, June 6, 2008

Jerat umrah RM500

KUALA LUMPUR: “Mak cik tidak sangka mereka sanggup menipu, apatah lagi membabitkan soal agama dengan menawarkan pakej umrah dengan harga hanya RM500,” kata Maimunah Ali, 58, mangsa sindiket penipuan kad keahlian pelancongan yang bergerak atas nama syarikat tertentu.Menurutnya, kejadian berlaku sebulan lalu ketika dia mengunjungi sebuah pasar raya besar di ibu negara.Katanya, ketika hendak memasuki pasar raya itu, dua wanita dan seorang lelaki berusia 20-an, menghampiria dan memperkenalkan kad keahlian pelancongan yang menawarkan pakej umrah percuma.“Mereka tanya sama ada saya pernah ke Makkah, saya beritahu sudah pernah mengerjakan haji.

“Tetapi mereka pandai memujuk dan memaklumkan jika membayar RM500, saya boleh mendapat kad keahlian pelancongan, termasuk menerima pakej mengerjakan umrah secara percuma,” katanya.

Maimunah yang percaya dengan kata-kata manis ejen kad pelancongan itu membayar RM500 sebelum diberi kad keahlian terbabit.“Mereka minta saya menghubungi talian tertera pada kad itu selain melayari laman web syarikat berkenaan.“Selepas dua minggu saya cuba menghubungi syarikat berkenaan, tetapi nombornya tiada dalam perkhidmatan.Disebabkan kecewa ditipu, dia membuat aduan kepada Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC).

Seorang lagi mangsa yang mahu dikenali Rahim, 32, mendakwa selain pakej umrah secara percuma, dia ditawar potongan 50 peratus harga penginapan di hotel terpilih bertaraf empat dan lima bintang di seluruh negara.Katanya, ahli juga ditawarkan keahlian seumur hidup, pakej percutian ke Indonesia atau Thailand serta sehelai baju sebagai cenderahati.

Bagi Leow Choi Souk, 42, dia membuat pembayaran untuk menjadi ahli menggunakan kad kredit.“Mereka menawarkan pakej pelancongan ke China selama seminggu lengkap dengan kemudahan penginapan dan makanan.“Saya terpikat tawaran itu dan tanpa berfikir panjang mendaftar sebagai ahli kad pelancongan itu,” katanya.Menurutnya, selepas tiga minggu, dia memohon cuti tahunan sebelum menghubungi syarikat pelancongan terbabit, tetapi tiada siapa menjawab panggilannya.

Mengulas kegiatan sindiket itu, Pengarah NCCC, Darshan Singh berkata, pihaknya menerima banyak aduan penipuan membabitkan syarikat yang menjual kad keahlian pelancongan kepada orang ramai di seluruh negara.Menurutnya, pelbagai tawaran dibuat, termasuk orang ramai yang menjadi ahli boleh menuntut hadiah bercuti secara percuma di dalam dan luar negara tanpa dikenakan bayaran manakala mengerjakan umrah pada kadar RM399 saja.Beliau berkata, sindiket itu disyaki sering menukar nama syarikat mereka dan menjelajah ke seluruh negara bagi memperdaya orang ramai.Katanya, siasatan awal NCCC juga mendapati sindiket itu mendaftar lima hingga enam syarikat yang menjalankan kegiatan menjual kad keahlian pelancongan kepada orang ramai.

No comments: